Rabu, 17 Mac 2021

ISU KERANCUAN BAHASA MELAYU DALAM MEDIA SOSIAL

“Bahasa Jiwa Bangsa”, itulah ungkapan yang paling sesuai untuk melambangkan signifikan sesuatu bahasa kepada bangsa-bangsa dalam sesebuah negara. Malaysia dan Nusantara mempunyai bahasa pertuturannya yang tersendiri iaitu bahasa Melayu. Menurut Hashim Musa dan Halimah Pondo (2012), bahasa merupakan asas keterampilan sesuatu bangsa dan kekuatannya dicerminkan melalui kesatuan masyarakat terhadap budaya yang diwarisi sejak turun-temurun. Hal ini jelas menunjukkan bahawa bahasa mampu mengangkat martabat sesuatu bangsa di mata dunia di samping menggambarkan sahsiah terpuji dan bersopan santun. Namun sejak akhir-akhir ini, isu kerancuan bahasa dalam kalangan masyarakat telah mencemarkan kemuliaan bahasa ibunda. Buktinya, banyak isu kerancuan bahasa dapat dikesan menerusi media sosial yang mana mengambil kira dari segi sebutan, ejaan, peristilahan, kosa kata, tatabahasa dan laras bahasa. Secara tidak langsung, situasi ini amat membimbangkan kewibawaan bahasa Melayu yang mula goyah dan dipandang hina oleh sesetengah pihak.

Sering kali kita dapat melihat terdapat ramai pengguna yang terdiri daripada masyarakat Melayu menggunakan kemudahan teknologi dengan cara yang salah khususnya semasa menggunakan bahasa Melayu dalam media sosial. Hal ini berpunca daripada masyarakat terutamanya golongan muda yang sudah terbiasa dengan penggunaan dialek mengikut negeri masing-masing. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), dialek bermaksud bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau kelas sosial yang berbeza daripada bahasa standard. Melalui aplikasi media sosial contohnya Whatsapps, Telegram dan sebagainya, masyarakat lebih cenderung untuk menghantar mesej dalam bentuk teks dengan menggunakan dialek atau loghat negeri. Perkara ini berlaku disebabkan mereka menganggap bahawa penggunaan dialek ini lebih menjimatkan masa dan memudahkan urusan seharian mereka. Sebagai contoh dalam dialek Kelantan, pengguna media sosial akan menaip mesej “Demo nok gi mano tu?”. Hal ini terbukti salah dari segi hukum ejaan dan tatabahasa kerana ayat yang betul adalah “Kamu hendak ke mana?”.  Keadaan sebeginilah yang menyebabkan isu kerancuan bahasa dalam media sosial berlaku dan akhirnya berlarutan kepada generasi yang seterusnya pada masa hadapan.

            Selain itu, isu kerancuan bahasa dalam media sosial juga dapat dikenalpasti melalui penggunaan bahasa rojak. Bahasa rojak bermaksud percampuran perkataan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris membentuk susunan dan binaan ayat yang salah dari segi tatabahasa Melayu. Situasi sebegini berlaku disebabkan sikap masyarakat yang kurang menjiwai akan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda. Hal ini dapat dilihat melalui masyarakat yang tidak mahu menyemai semangat patriotisme dalam diri mereka untuk memelihara bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Menurut Rosfazila Abd. Rahman (2011), patriotisme mencakupi sikap bangga terhadap bahasa dan budaya dengan keinginan untuk menjaga dan mengekalkannya supaya menjadi asas utama seluruh warganegara. Namun, masyarakat sembarangan bertindak mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris tidak kira sama ada dalam pergaulan mahupun melalui perkongsian dalam media sosial. Sifat cinta akan bahasa sendiri sepatutnya perlu wujud dalam diri setiap masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan budaya kerana semuanya berpijak di atas bumi yang sama. Seseorang rakyat yang mempunyai perasaan cinta akan negaranya pasti tidak akan pernah sesekali mengabaikan bahasa kebangsaannya walau apa jua yang berlaku.

Rajah 1 menunjukkan proses perbualan menerusi aplikasi Whatsapps.

Berdasarkan gambar rajah di atas, kita dapat mengkaji tentang perbualan dua individu secara atas talian melibatkan penggunaan dialek yang semakin meluas. Hal ini dapat dibuktikan dengan wujudnya penggunaan perkataan mende. Perkataan tersebut mengambil kira dari aspek kesalahan ejaan di mana ejaan yang sebetulnya adalah benda. Hal ini turut sama berlaku dengan perkataan yang lain iaitu bgtaw perlu dibetulkan kepada beritahu, dan dluuu sepatutnya dahulu. Selain itu, mereka berdua juga menggunakan bahasa Inggeris bagi perkataan-perkataan yang tertentu contohnya i dan u (you). Namun, sebahagian besar perkataan lain dalam mesej yang sama adalah terdiri daripada bahasa Melayu. Maka di sini berlakunya isu penggunaan bahasa rojak yang merupakan musuh utama bahasa Melayu iaitu percampuran dua bahasa yang berbeza dalam satu masa. Sepatutnya perkataan i mestilah diganti kepada saya manakala perkataan u turut perlu ditukar menjadi kamu. Begitu juga perkataan statement hendaklah digantikan dengan bahasa baku iaitu pernyataan. Mereka berdua sepatutnya menggunakan perkataan bahasa Melayu secara menyeluruh agar sesuatu mesej dapat disampaikan dengan jelas serta mematuhi hukum tatabahasa.

Isu kerancuan bahasa dalam media sosial memberikan implikasi negatif terhadap keunggulan bahasa melayu di persada dunia. Antara kesan terbesar ialah kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan tergugat. Hal ini kerana isu kerancuan bahasa telah memberikan reaksi buruk terhadap masyarakat yang berlainan kaum seperti Cina dan India mengenai keistimewaan bahasa Melayu. Minat untuk mempelajari bahasa ini secara lebih mendalam dalam diri kaum lain akan semakin luntur dan akhirnya hilang dengan begitu sahaja. Mana tidaknya, jikalau masih wujud sikap segelintir masyarakat Melayu yang bertindak mengagung-agungkan bahasa lain terutamanya bahasa dialek berserta bahasa Inggeris melebihi bahasa baku. Acap kali kita dapat melihat terdapatnya penggunaaan dialek negeri sepenuhnya dalam media sosial menjadikan bahasa Melayu kian dipinggirkan oleh pengguna bahasa itu sendiri. Tambahan pula, masyarakat lebih tertumpu ke arah penggunaan bahasa rojak dalam sesuatu maklumat yang ingin dikongsikan menerusi platform Facebook, Instagram dan sebagainya. Oleh itu, jelaslah di sini menunjukkan kerancuan bahasa dalam media sosial mengakibatkan bahasa Melayu dianaktirikan dan seterusnya diabaikan tanpa rasa bersalah oleh masyarakat.

 Namun begitu, setiap masalah yang timbul pastinya akan ada jalan penyelesaian bagi mengatasi segala hal yang berkaitan dengan kerancuan bahasa Melayu dalam media sosial. Langkah yang dimaksudkan ialah pihak kerajaan melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mestilah mengambil tindakan proaktif dengan mengadakan kempen kesedaran dalam media sosial yang penuh dengan daya kreativiti. Melalui langkah ini, DBP boleh menyebarkan iklan pesanan khidmat masyarakat tentang tatacara penggunaan bahasa Melayu yang betul melalui bentuk grafik dan video bergambar dalam media sosial. Ini kerana paparan dalam teknologi tersebut dapat memastikan bahawa semua masyarakat dapat menyaksikan iklan yang dicipta sebaik sahaja mereka menggunakan kemudahan media sosial. Secara tidak langsung, kempen kesedaran yang dijalankan secara kreatif ini mampu memupuk dan memberikan keinsafan terhadap masyarakat tentang peri pentingnya bahasa Melayu yang perlu kita jaga seperti nyawa kita sendiri. Malahan, kempen yang diadakan membolehkan masyarakat mengutamakan bahasa baku dalam apa-apa jua keadaaan. Oleh itu, penggunaan bahasa dialek dan juga bahasa rojak dalam media sosial akan dapat dihapuskan dengan segera kerana bahasa-bahasa yang tidak diiktiraf ini berupaya merendahkan martabat dan keagungan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Tuntasnya, tanpa kita sedari, isu kerancuan bahasa mampu menyumbang ke arah keruntuhan bahasa Melayu. Jika perkara ini terus berlanjutan, sudah pastinya bahasa ibunda yang diperturunkan oleh nenek moyang kita akan semakin terhakis. Apa yang menyedihkan lagi, terdapat sesetengah pihak yang bertindak menghina bahasa kebangsaan dan malu untuk mengggunakannya dalam kehidupan seharian. Pada hakikatnya, media sosial juga dapat memajukan bahasa Melayu tetapi bergantung sepenuhnya terhadap pengguna itu sendiri. Jika pengguna media sosial menggunakan bahasa Melayu dengan betul semasa berkongsi maklumat dalam media sosial, maka ianya tidak menjadi masalah bahkan kedudukan bahasa Melayu dapat diperkukuhkan lagi. Oleh itu, semua pihak mestilah saling berganding bahu untuk menangani isu kerancuan bahasa dalam media sosial dengan menerapkan ilmu bahasa Melayu dalam diri masyarakat. Sesungguhnya, jika bahasa Melayu dapat dipelihara dengan baik maka negara kita akan maju dari segi semua aspek akhirnya membawa ke arah pembentukan negara yang harmoni.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ISU KERANCUAN BAHASA MELAYU DALAM MEDIA SOSIAL

“Bahasa Jiwa Bangsa”, itulah ungkapan yang paling sesuai untuk melambangkan signifikan sesuatu bahasa kepada bangsa-bangsa dalam sesebuah ne...